Friday, August 14, 2009

Ustaz Asri: 'Bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku'


Keluhuran budi Allahyarham Ustaz Asri akan senantiasa dikenang -foto blog Ustaz Asri
BELASUNGKAWA
USTAZ ASRI RABBANI (3 Ogos 1969- 13 Ogos 2009)

BERITA kematian di bulan Syaaban sekali lagi menyentap di hati. Pemergian mengejut Ustaz Asri Ibrahim, teraju utama kumpulan Rabbani jam 10.30 pagi 22 Syaaban adalah perkhabaran yang cukup sedih kerana Allahyarham adalah seorang insan yang sangat istimewa, luhur budi perkerti, penuh hemah bila menyusun kata dan amat disayangi di kalangan rakan artis.
Terngiang-ngiang bait lagu 'Pergi Tak Kembali', 'Intifada', 'Qiblat', 'Suara Takbir' dan alunan zikrullah yang dititipkan oleh Allahyarham.
Kumpulan nasyid Rabbani.Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman begitu unik kerana ada konsep tersendiri

Sebaik membuka blog peribadi Dr Asri, (asrirabbani.blogspot.com) setiap patah perkataan bagai menggambarkan peribadi arwah selama 40 tahun di bumi ini. Jelas sekali kehadirannya sebagai penyanyi, sahabat, suami, ayah, adik, abang dan anak cukup disenangi. Hilangnya akan selalu dirindui....
"Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku."
Begitulah pembuka kata blog Allahyarham Ustaz Asri.
Ramadhan yang akan menjelma selang beberapa hari lagi akan membuat kita lebih mengingati Ustaz Asri kerana kegemersikan, kesyahduan ayat-ayat Quran alunannya sudah begitu sebati dengan kita.
Justeru bila saja perkhabaran tentang pemergian Ustaz Asri diterima, ramai wartawan yang tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata rasa kehilangan.
Memetik kata arwah Ustaz Asri tika ditanya bagaimana dia menjaga ukhuwah antara anggota kumpulan Rabbani. Kata arwah, "semuanya dianggap bagai teman sejati dan saling membantu dan mengingatkan masa susah dan senang."


TINGGAL KENANGAN...Saat-saat bahagia bersama anak-anak

Dan itulah yang diterapkan di dalam menjalin semangat persahabatan antara sembilan anggota Rabbani.
Kini hanya wajah-wajah sugul keluarga tersayang, teman dan taulan mengiringi pemergian arwah dengan doa agar ditempatkan bersama roh-roh yang baik.
Pernah beberapa kali ketika buntu mengalami kesulitan hidup, arwah sering berpesan, "walau selama manapun kita hidup, penghujungnya pasti mati. Jadi jangan lupa bawa bekalan untuk pulang. "
Begitulah sikap arwah yang paling diingati. Apa saja yang dilakukan, dia akan tetap selitkan nasihat berguna. Walaupun sedang berjenaka, arwah akan tetap berpesan agar buat kebaikan.

Anak bongsu Allahyarham Ustaz Asri...Hamdi Rabbani yang berusia 4 tahun

Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor. Beliau mempunyai 13 orang adik beradik. Beliau meninggalkan seorang balu, Haliza, 38 dan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.
Arwah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.
Jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, di sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, di sini selepas Maghrib bagi memberi peluang kepada keluarga mertuanya yang datang dari Johor memberikan penghormatan terakhir buat arwah.
KUMPULAN RABBANI

Permata hati arwah Ustaz Asri...Hamdi Rabbani

Kumpulan Rabbani telah ditubuhkan pada 1 Mac 1997. Rabbani bermaksud "Yang Arif dan Yang Soleh" atau tafsiran umum "ingin mengajak diri, keluarga dan komuniti kepada kebaikan".
Ianya dianggotai oleh 9 orang yang membawa kelainan dari sudut penampilan, imej dan persembahan.
Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.

Anak arwah, Sufiyah Munawarah berusia 6 tahun paling manja dengan Ustaz Asri

Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman mempunyai tarikan mereka sendiri kerana konsep yang berbeza.
Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik melalaui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Mediteranean, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era semasa juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.
Disamping itu, ianya ditampilkan dengan alunan muzik ala Melayu Timur dan digabungkan dengan adunan muzik Timur Tengah.
Antara banyak kumpulan nasyid, konsep muzik Rabbani lebih global dan menampilkan world muzik.
Kegigihan dan kesungguhan kumpulan ini untuk senantiasa memberikan sesuatu yang baru dan terbaik, dibawah bimbingan Ustaz Asri maka terhasillah 'Rabbani Productions (M) Sdn Bhd' yang akhirnya turut mencipta nama dalam bidang perniagaan.
PENGHASILAN ALBUM
Rabbani telah melahirkan 16 album kesemuanya seperti berikut

Arwah bersama ibu tersayang

1) Rabbani. 19962) ARAH Dari Mana… Ke Mana… 19973) Muhammad Ya Habibi. (Kompilasi) 19984) Ramadhan Remix (Rabbani / H.Madani) 19995) Pergi Tak Kembali. 19996) Iqrar 1421. 20007) Intifada 20008) Aman 20019) Qiblat 200210) Kenangan (Kompilasi) 200311) Epik 200312) Yalla Beena 200413) Suara Takbir 200514) Malam Sinar Maulidurrasul 1427 (VCD) 200615) Ramadhan Syawal 200616) Maulana 200717) Rabbani 1418-1428H 200718) Rabbani 1418-1428H (VCD&VCD Karaoke) 2008
ANUGERAH INDUSTRI MUZIK (AIM)
1. Album Nasyid Terbaik 2001 - Iqrar - 14212. Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 - Iqrar-14213. Album Terbaik 2001 - Iqrar-14214. Album Nasyid Terbaik 2002 - Intifada5. Album Nasyid Terbaik 2003 - Qiblat


ANUGERAH BINTANG POPULAR BERITA HARIAN
1. Penyanyi Nasyid Popular 20012. Penyanyi Nasyid Popular 20023. Penyanyi Nasyid Popular 20034. Penyanyi Nasyid Popular 20045. Penyanyi Nasyid Popular 20056. Penyanyi Nasyid Popular 2006
ANUGERAH ERA
1. Lagu Nasyid Pilihan 2001 - Intifada2. Lagu Nasyid Pilihan 2006 - Nawaitu
ANUGERAH CARTA NASYID IKIM.FM
1. Juara ACNI 2004 - Handzalah2. Naib Juara ACNI 2005 - Yalla Beena3. Vokal Terbaik ACNI 2005 - Yalla Beena
ANUGERAH NASYID MINGGU INI
1. Naib Juara 2004 - Yalla Beena2. Persembahan Terbaik 20063. Penyanyi Solo Terbaik 2006
RINTIHAN ZIKRULLAH
Arwah Ustaz Asri seorang yang amat beratkan bacaan zikir Zikir adalah penawar sewaktu kita hadapi kesedihan dan kegelisahan hati.
Justru 'Rintihan Zikrullah' merupakan album munajat Ustaz Asri yang menghimpunkan zikir-zikir, petikan ayat suci Al-Quran dan bait-bait rintihan.
Sesiapapun akan rasa insaf mendengar alunan zikrullah ini, kolaborasi antara IME dan Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd.
Arwah Asri menganggap album ini begitu bermakna kerana ia banyak memaparkan pengalaman hidupnya.
Malah, Ustaz Asri menghasilkan 'Zikir Lailahailallah' buat arwah ayahandanya, Ibrahim Busro, 83, yang meninggal dunia 27 Mei 2007.
"Ia jadi kenangan manis buat saya kerana arwah sering mendendangkan zikir itu setiap kali bulan puasa," jelas arwah.
Dalam coretan terakhir di blognya, arwah merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.
Pencapaian kumpulan Rabbani amat membanggakan. Walaupun arwah adalah tunjak kejayaan kumpulan Rabbani selama ini, beliau lebih senang berkongsi setiap detik kejayaannya bersama anggota yang lain.
Peribadi arwah yang begitu luhur kini tinggal kenangan.
Al-Fatihah buat Allahyarham. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.
Sumber Mstar Online

1 comment:

  1. your blog is so cool! please visit my blog, charmedwishes18.blogspot.com, thanks!

    ReplyDelete